Pada waktu matahari ingin balik ke arah lain dan malam datang tanpa perlu dijemput aku terdengar suara mesin rumput berbunyi memotong rumput yang sudah panjang melebihi lutut. Bunyinya seperti seorang pemerintah yang rakus cuba mencantas rakyat yang cuba untuk bernafas lebih selesa di alam ini. Ahhh biarkan saja rumput dan mesin itu bersuara lantang memecahkan gegendang telinga mudaku.
Aku lihat dengan gah si pemotong memotong rumput dan dengan asyik tanpa memikirkan gegendang dan percikan batu yang terkena aku. Aku sabar dalam kemarahan biarkan saja dia pun manusia biasa yang mencari nafkah dengan cara itu. Pandangan aku beralih ke arah sebuah rumah yang dapat ku lihat ada sepasang warga tua duduk di luar rumah.
Dari jauh ku lihat mereka seperti berbual mesra apabila si wanita menepuk-nepuk tangan dan si lelaki berdiri tegak sambil menongkatkan tangan untuk menampung berat badannya ke dinding. Agak aku mereka seperti sudah separuh abad bernikah.
Aku menghampiri mereka dan memberi salam tanda hormat pada yang tua. Salam ku dijawab dan aku disapa dengan penuh kasih sayang. Di kala asyik dengan perbualan suai kenal antara aku dan si wanita ku perhatikan wanita ini amat mesra dan peramah kepada aku. Gaya bahasanya dan tutur katanya membuatkan aku tunduk dengan penuh hormat kepadanya. Aku lihat lelaki itu hanya mendiamkan diri sahaja dan kadang kala menyapa aku dan kadang kala mengiakan kata-kata wanita itu.
Hampir setengah jam aku meluangkan masa dengan pasangan bahagia sangkaan ku ini. Aku rasakan wanita itu seperti cuba mempermain-mainkan aku dengan bertanya soalan berulang kali kepada aku. Dengan penuh sifat sabar aku menjawab soalannya berulang kali.
Selepas itu ku perhatikan wanita ini seperti gerun dengan lelaki itu dan bersikap dingin dengan lelaki tadi. Aku perhatikan lelaki itu dengan penuh sabar menerima segala maki hamun wanita itu. Sampai ke tahap wanita itu tidak mengakui lelaki itu suaminya ,masakan pula lelaki itu bukan suaminya aku lihat gambar mereka bersama ada terletak di meja perhiasan.
Dengan perasaan berbelah bagi dan demi menjaga air muka lelaku itu aku beredar dari situ. Aku tidak tahan melihat lelaki itu dimaki dengan segala cercaan dan dihambur dengan kata-kata kesat. Dalam kaki ku melangkah otak ku berfikir apa yang diterima lelaki itu dengan segala cercaan dan maki hamun serta lebih teruk si isteri tidak mengenali si suami adakah ini semua kerana cinta atau sayang.........
No comments:
Post a Comment